Sabtu, 19 Mei 2012

Kisah Rabi'atul Adawiyah & Seorang Pencuri

Suatu malam yang sunyi sepi, di kala masyarakat sedang khusyuk tidur, seorang pencuri telah menceroboh masuk ke dalam pondok Rabi'atul Adawiyah.

Namun setelah menyelongkar sekeliling berkali-kali, dia tidak menemui sebarang benda berharga kecuali sebuah kendi untuk kegunaan berwuduk, itu pun telah buruk. Lantas si pencuri tergesa-gesa untuk keluar dari pondok tersebut.

Tiba-tiba Rabi'atul Adawiyah menegur si pencuri tersebut, "Hei,jangan keluar sebelum kamu mengambil sesuatu dari rumahku ini". Si pencuri tersebut terperanjat kerana dia menyangka tiada penghuni di pondok tersebut. Dia juga berasa hairan kerana baru kini dia menemui tuan rumah yang begitu baik hati seperti Rabi'atul Adawiyah. Kebiasaanya tuan rumah pasti akan menjerit meminta tolong apabila ada pencuri memasuki rumahnya, namun lain pula yang berlaku.

"Sila ambil sesuatu." kata Rabi'atul Adawiyah lagi kepada pencuri tersebut.

"Tiada apa-apa yang boleh aku ambil daripada rumah mu ini." kata si pencuri berterus-terang.

"Ambillah itu!" kata Rabi'atul Adawiyah sambil menunjuk pada kendi yang buruk tadi.

"Ini hanyalah sebuah kendi buruk yang tidak berharga." Jawab si pencuri.


"Ambil kendi itu dan bawa ke bilik air. Kemudian kamu ambil wudhu' menggunakan kendi itu. Selepas itu solatlah 2 rakaat. Dengan demikian, engkau telah mengambil sesuatu yang sangat berharga daripada pondok burukku ini." Balas Rabi'atul Adawiyah.

Mendengar kata-kata itu, si pencuri tadi berasa gementar. Hatinya yang selama ini keras, ,menjadi lembut seperti terpukau dengan kata-kata Rabi'atul Adawiyah itu. Lantas si pencuri mencapai kendi buruk itu dan dibawa ke bilik air, lalu berwudhu' menggunakannya. Kemudian dia menunaikan solat 2 rakaat. Ternyata dia merasakan sesuatu kemanisan dan kelazatan dalam jiwanya yang tidak pernah dirasa sebelum ini.

Rabi'atul Adawiyah lantas berdoa, "Ya Allah, pencuri ini telah menceroboh masuk ke rumahku. Akan tetapi dia tidak menemui sebarang benda berharga untuk dicuri. Kemudian aku suruh dia berdiri di hadapan-Mu. Oleh itu janganlah Engkau halang dia daripada memperolehi nikmat dan rahmat-Mu."

Si pencuri itu telah menginsafi perbuatannya.

Jumaat, 18 Mei 2012

Perjuangan bagai satu pelayaran

Perjuangan itu gerun dan mengerikan 
Hebat dan dahsyat menggerunkan hati 
Bagi mukmin di sini harga dan nilainya 

 Perjuangan itu bagai sampan di laut 
Di atas lapang tiada perlindungan 
 Di bawah air melambung dan menggunung
 Menongkah gelombang yang datang melanda 

 Kiri kanan depan dan belakang 
Angin yang menderu tidak tahu bila datang 
 Hujan badai yang datang menyerang 
Bak singa yang lapar yang garang 

 Kadang-kadang terdampar di batu karang 
Penumpang menerima nasib berlainan 
Ada yang jatuh ada yang tenggelam
 Yang pandai berenang berpaut ke sampan

Ada yang bejaya berenang ke tepian
 Sekali lagi dia melayar sampan 
 Walau pelayaran mungkin tidak berjaya
 Namun harapannya hanya pada yang Esa