Sabtu, 13 Oktober 2012

HARI KEHANCURAN DUNIA

Sungguh dunia kini menuju kehancurannya. Hitunglah berapa umur sebenar dunia dan bagaimana rupa zahirnya, sedang ketika peristiwa Nabi SAW diisra'kan dan dimikrajkan oleh Allah SWT, tika itu Nabi melihat seorang tua, yang kemudiannya mengaku bahawa dialah keadaan dunia. Apatah lagi jika hendak dinbandingkan dengan keadaan dunia di zaman kita.

Saban hari saban waktu, dunia yang tua ini tetap dihiasi dengan 'perhiasan' dan 'permata', iaitu dengan megahnya berdiri bangunan-bangunan pencakar langit, perubahan sedikit demi sedikit struktur bentuk muka bumi kearah yang lebih moden, seolah manusia mersakan dunia mereka ini adalah tempat kekal bagi mereka dan kehidupan mereka keseluruhannya.



Dikisahkan, pada suatu hari Rasulullah SAW melihat bangkai anak kambing yang dibuang oleh tuannya lalu baginda berpaling kepada para sahabatnya dan bersabda :
"Adakah kamu melihat betapa hinanya bangkai kambing itu di sisi tuannya, demi Allah dunia ini lebih hina di sisi Allah melebihi kehinaan kambing tersebut di sisi tuannya. Kalaulah nilai dunia ini menyamai nilai sebelah sayap seekor nyamuk nescaya Allah tidak akan memberi seteguk airpun untuk minuman orang kafir"

Baginda juga pernah bersabda : 
"Hari kiamat semakin hampir sedangkan manusia semakin tamak-rakus kepada dunia dan mereka juga semakin jauh dengan Allah" 

Isnin, 16 Julai 2012

Akibat manusia tidak mengenali dirinya sendiri


Manusia ini kalau dari kecil tidak dididik rohaninya 
Hanya diberi ilmu syariat yang lahiriah sahaja

Dia akan lebih kenal orang lain dari dirinya 
Kejahatan orang lain lebih dia nampak 
dari kejahatan dirinya sendiri

Orang lain sombong atau ego dia nampak, 
pada masa yang sama ego dirinya lebih besar 
dari orang itu dia tidak terasa

Di waktu dia susah, orang tidak membantunya dia terasa 
padahal dia sendiri tidak pernah membantu orang, 
dia tidak terasa satu kesalahan

Orang lain mementingkan diri dia tersinggung, 
dia mementingkan diri, 
dia tidak sedar yang sudah jadi budaya dalam dirinya

Orang lain bakhil, dia nampak  tidak patut, 
dia sendiri bakhil seolah-olah tidak mengapa

Orang lain tidak sabar, dia nampak sangat, 
dia tidak sabar payah dia hendak memahaminya

Begitulah manusia jika tersalah didik dari kecilnya 
Soal-soal roh atau hati, 
yang ada hubungan dengan mahmudah dan mazmumah, 
tidak pernah dia kenal

Kalaupun dia diajar tentang Islam 
hanya banyak menekankan syariat lahir semata-mata 
Akibatnya dia tidak kenal diri-sendiri

Tidak kenal diri sendiri ertinya tidak boleh menilai diri 
Tidak boleh nilai diri sendiri, kejahatan orang lainlah yang dia nampak 
Kejahatan diri sendiri dia tidak nampak
Kejahatan diri sendiri dia tidak sedari 
Oleh itu orang ini selalu sahaja menuding jari kepada orang lain

Dirinya terkecuali daripada kesalahan 
Ramai manusia di dunia hari ini bersikap begini.

Sabtu, 19 Mei 2012

Kisah Rabi'atul Adawiyah & Seorang Pencuri

Suatu malam yang sunyi sepi, di kala masyarakat sedang khusyuk tidur, seorang pencuri telah menceroboh masuk ke dalam pondok Rabi'atul Adawiyah.

Namun setelah menyelongkar sekeliling berkali-kali, dia tidak menemui sebarang benda berharga kecuali sebuah kendi untuk kegunaan berwuduk, itu pun telah buruk. Lantas si pencuri tergesa-gesa untuk keluar dari pondok tersebut.

Tiba-tiba Rabi'atul Adawiyah menegur si pencuri tersebut, "Hei,jangan keluar sebelum kamu mengambil sesuatu dari rumahku ini". Si pencuri tersebut terperanjat kerana dia menyangka tiada penghuni di pondok tersebut. Dia juga berasa hairan kerana baru kini dia menemui tuan rumah yang begitu baik hati seperti Rabi'atul Adawiyah. Kebiasaanya tuan rumah pasti akan menjerit meminta tolong apabila ada pencuri memasuki rumahnya, namun lain pula yang berlaku.

"Sila ambil sesuatu." kata Rabi'atul Adawiyah lagi kepada pencuri tersebut.

"Tiada apa-apa yang boleh aku ambil daripada rumah mu ini." kata si pencuri berterus-terang.

"Ambillah itu!" kata Rabi'atul Adawiyah sambil menunjuk pada kendi yang buruk tadi.

"Ini hanyalah sebuah kendi buruk yang tidak berharga." Jawab si pencuri.


"Ambil kendi itu dan bawa ke bilik air. Kemudian kamu ambil wudhu' menggunakan kendi itu. Selepas itu solatlah 2 rakaat. Dengan demikian, engkau telah mengambil sesuatu yang sangat berharga daripada pondok burukku ini." Balas Rabi'atul Adawiyah.

Mendengar kata-kata itu, si pencuri tadi berasa gementar. Hatinya yang selama ini keras, ,menjadi lembut seperti terpukau dengan kata-kata Rabi'atul Adawiyah itu. Lantas si pencuri mencapai kendi buruk itu dan dibawa ke bilik air, lalu berwudhu' menggunakannya. Kemudian dia menunaikan solat 2 rakaat. Ternyata dia merasakan sesuatu kemanisan dan kelazatan dalam jiwanya yang tidak pernah dirasa sebelum ini.

Rabi'atul Adawiyah lantas berdoa, "Ya Allah, pencuri ini telah menceroboh masuk ke rumahku. Akan tetapi dia tidak menemui sebarang benda berharga untuk dicuri. Kemudian aku suruh dia berdiri di hadapan-Mu. Oleh itu janganlah Engkau halang dia daripada memperolehi nikmat dan rahmat-Mu."

Si pencuri itu telah menginsafi perbuatannya.

Jumaat, 18 Mei 2012

Perjuangan bagai satu pelayaran

Perjuangan itu gerun dan mengerikan 
Hebat dan dahsyat menggerunkan hati 
Bagi mukmin di sini harga dan nilainya 

 Perjuangan itu bagai sampan di laut 
Di atas lapang tiada perlindungan 
 Di bawah air melambung dan menggunung
 Menongkah gelombang yang datang melanda 

 Kiri kanan depan dan belakang 
Angin yang menderu tidak tahu bila datang 
 Hujan badai yang datang menyerang 
Bak singa yang lapar yang garang 

 Kadang-kadang terdampar di batu karang 
Penumpang menerima nasib berlainan 
Ada yang jatuh ada yang tenggelam
 Yang pandai berenang berpaut ke sampan

Ada yang bejaya berenang ke tepian
 Sekali lagi dia melayar sampan 
 Walau pelayaran mungkin tidak berjaya
 Namun harapannya hanya pada yang Esa


Ahad, 8 April 2012

Fenomena lemahnya IMAN..

Sesungguhnya fenomena lemah iman adalah suatu fenomena yang sudah merebak dan tersebar luas di kalangan kaum muslimin. 

Terdapat banyak orang yang mengadu akan kekerasan hatinya yang diucapkan berkali-kali melalui ungkapan-ungkapan seperti: 

Aku merasakan adanya kekerasan di dalam hatiku, aku tidak pernah mendapat keni’matan dalam beribadah, aku merasakan bahawa iman di dalam hati ini seakan-akan berada di dalam jurang, aku tidak terpengaruh (terkesan) oleh bacaan Al-Quran dan mengapa mudah sekali aku terjerumus ke dalam kederhakaan?

Sesungguhnya penyakit lemah iman itu mempunyai tanda-tandanya, antaranya ialah:

 1. Melakukan kederhakaan dan amalan berdosa. 

Di kalangan orang-orang yang derhaka ada yang melakukan satu amalan kederhakaan secara terus-menerus dan ada pula yang melakukan berbagai-bagai amalan kederhakaan. Jika seseorang itu sering melakukan kederhakaan, maka kederhakaan itu boleh menjadi kebiasaan yang tidak dapat ditinggalkan. 

Seterusnya menjadikan hatinya keras daripada merasai kesan buruk kederhakaan itu. Akhirnya, pelakunya berani menderhaka secara terang-terangan, sehingga dia termasuk ke dalam golongan yang disebutkan di dalam hadith ini (yang bermaksud): “Setiap umatku mendapat perlindungan afiat kecuali orang-orang yang terang-terangan. Dan, sesungguhnya termasuk perbuatan terang-terangan jika seseorang melakukan suatu perbuatan pada malam hari, kemudian dia berada pada pagi hari, padahal Allah telah menutupinya, namun dia berkata, ‘Hai fulan, malam tadi aku telah berbuat begini dan begini’, padahal Rab-nya telah menutupinya, namun kemudian dia menyelak sendiri apa yang telah ditutupi Allah pada dirinya.” [Riwayat Bukhari]


 2. Merasakan adanya kekerasan dan kekakuan dalam hati. 

Kerana adanya perasaan keras dan kaku, menjadikan seseorang merasakan seakan-akan hatinya telah berubah laksana batu keras yang hampir mustahil diusik dan dipengaruhi oleh sesuatu apa pun.

 Allah Subhanahuwta’ala berfirman: “Kemudian setelah itu, hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi.” [Al-Baqarah: 74] 

Orang yang hatinya keras tidak mampu dipengaruhi dengan nasihat tentang kematian. Tidak pula terpengaruh tatkala dia melihat orang mati atau mayat yang membujur. Bahkan boleh jadi dia sendiri yang mengangkat mayat itu dan meletakkannya di liang kubur, tetapi langkah-langkah kakinya di antara sekian banyak kuburan tidak ubah seperti langkah-langkah kakinya di antara longgokan-longgokan batu. 


 3. Tidak tekun dan hilang khusyu’ dalam beribadah. 

Antara tanda lemah iman ialah tidak khusyu’ dan hilang tumpuan semasa solah, membaca Al-Qur’an, berdoa dan lain-lain. Tidak menyemak dan memikirkan makna-makna doa, sehingga ia membacanya hanya sekadar rutin yang membosankan. 

Boleh jadi, oleh kerana doa yang dibacanya hanya terbatas kepada doa-doa tertentu sahaja, maka ia tidak merasa perlu untuk memikirkan makna-maknanya. Padahal Allah Subhanahuwata’ala tidak menerima doa yang dibaca ala kadar sahaja, sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadith (yang bermaksud): “Tidak akan diterima doa dari hati yang lalai dan main-main.” [At-Termizi] 


4. Malas melakukan amal taat dan meremehkan ibadah. 

Orang yang lemah iman, kalau pun melakukan ibadah, maka ia lakukan sekadar aktiviti kosong tanpa roh. Allah Subhanahuwata’ala telah mensifati orang-orang munafik dalam firman-Nya: “Dan, apabila mereka berdiri untuk solah, mereka berdiri dengan malas.” [An-Nisa’: 142] 

Termasuk juga dalam kelompok meremehkan ibadah ialah sikap tidak memperdulikan tanda-tanda kebaikan dan waktu-waktu yang tepat untuk beribadah. Pada masa yang sama tidak ghairah untuk mendapatkan pahala daripada Allah Subhanahuwata’ala. Contohnya, menunda-nunda perlaksanaan haji padahal ia mampu, mundur daripada medan peperangan dan hanya duduk di rumah dan menangguh-nangguh ikut solah berjamaah. Orang yang lemah iman sebegini, perasaannya sama sekali tidak tersentuh jika ia tertidur hingga meninggalkan solah wajib. 

Begitu juga jika ia ketinggalan melakukan solah sunat rawatib atau wirid. Ia juga tidak berhasrat untuk menqadha atau menggantikan apa yang ketinggalan itu. Bahkan boleh jadi ia sengaja meninggalkan amalan sunat atau fardhu kifayah. Gambaran ini bertentangan dengan orang-orang yang disifati Allah Subhanahuwata’ala di dalam firman-Nya: “Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan, mereka adalah orang-orang yang khusyu’ kepada Kami.” [An-Anbiya’: 90] Bermacam-macam lagi tanda-tanda kemalasan seperti malas dalam melaksanakan ibadah-ibadah rawatib, solah malam, solah dhuha, solah-solah nafilah dan melengah-lengahkan usaha datang ke masjid. Hatinya sama sekali tidak terketuk untuk melakukan semua itu.


5. Dada terasa sesak dan terbelenggu. 

 Orang yang lemah iman akan merasakan seolah-olah wujud beban yang berat menghimpitnya. Ia cepat menjadi resah dan gelisah kerana suatu masalah yang remeh dan jauh daripada merasai lapang dalam hatinya. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah mensifati iman sebagai berikut: “Iman itu ialah kesabaran dan kelapangan hati.” [As-Silsilah As-Sahihah] 


6. Hati tidak tersentuh dengan ayat-ayat Al-Quran. 

 Hati yang lemah tidak akan tersentuh dengan janji, ancaman, perintah, pengisahan kiamat dan lain-lain di dalam Al-Quran. Orang yang lemah imannya akan menjadi bosan dan malas untuk mendengar kandungan isi Al-Quran. Ia tidak berusaha untuk membuka dirinya agar berhubung secara langsung dengan Al-Quran. Sekiranya ia membuka mushaf, isi kandungannya tidak diperhatikan dan tidak diberikan perhatian. 


7. Lalai daripada mengingati Allah Subhanahuwata’ala sewaktu berzikir dan berdo’a. 

 Berzikir menjadi satu pekerjaan yang berat baginya. Jika ia mengangkat tangannya untuk berdo’a, maka secepat itu pula ia menelangkupkan tangannya dan menamatkan doanya. Allah Subhanahuwata’ala telah mensifati orang-orang munafik dalam firman-Nya: “Dan, mereka tidak menyebut Allah kecuali hanya sedikit sekali.” [An-Nisa’: 142]


 8. Tidak merasa tergugah dengan tanggungjawab untuk beramal demi kepentingan Islam. 

 Orang yang lemah iman tidak mahu berusaha untuk menyebarkan Islam dan menolongnya. Keadaan ini sangat jauh berbeza dengan para sahabat Nabi Sallallahu’alaihiwasallam. Seorang pemuda, Ibnu Amr Radhiallahu‘anhu, terus beranjak melakukan dakwah kepada kaumnya sebaik sahaja beliau memasuki Islam. Namun majoriti orang-orang Islam di zaman ini hanya suka duduk senang dan tidak memiliki rasa tangunggjawab untuk melakukan dakwah meski pun sudah sekian lama menjadi muslim.

 Rujukan: Muhammad Sholih Al-Munajjid, Obat Lemahnya Iman.