Sabtu, 20 Mac 2010

Merancang Perubahan..

Ada yang sedih dan kecewa dengan keadaan diri dan kehidupannya...setelah beberapa lama selepas itu dia masih di tahap yang sama; tanpa sebarang perubahan atau peningkatan. Ramai juga yang bercita-cita tinggi dan mempunyai pengharapan yang besar, namun setalah masa demi masa berlalu tidak ada apa yang dicapainya.

Setiap insan inginkan kejayaan dan kebahagiaan dalam hidupnya tetapi tidak semua daripada mereka yang memahami erti kejayaan dan kebahagiaan. Ada yang memahami erti sebenar kejayaan dan kebahagiaan tetapi tidak tahu pula jalan untuk mencapainya. Ada pula tahu semua itu tetapi tidak memiliki jiwa yang besar untuk berjuang untuk memperolehi kejayaan dan kebahagiaan tersebut. Jadi apa bezanya ketiga-tiga golongan ini dengan golongan yang ke 4, iaitu orang yang tidak memiliki harapan dan cita-cita. Tentunya semua mereka tidak berpuashati dengan keadaan hidup mereka namun tidak ada usaha untuk membaiki keadaan dirinya dan kehidupannya.

Bagaimana dengan kita? Jika kita inginkan kejayaan....maka tentu ada harganya yang perlu kita bayar. Sebagaimana kata-kata Ibn Qayyim: “kenikmatan tidak mungkin diperolehi dengan kenikmatan pula”
Tiap sesuatu yang bernilai tinggi pasti ada harganya, Kejayaan tak akan diraih dengan kesenangan dan kenikmatan kerana kesenangan dan kenikmatan itu hanya akan datang selepas kejayaan bukan sebelumnya. Jika kita benar-benar inginkan kejayaan dan kebahagiaan maka kita perlu sanggup menempuh halangan dan rintangannya.

Inilah persoalan besar yang sedang kita hadapi disepanjang kehidupan....tidak tahu membuat pilihan mana yang baik mana yang tidak. Kalaupun kita telah membuat pilihan tidak sanggup pula kita membayar maharnya/harganya. Kita inginkan kejayaan dengan 'harga yang murah', kita inginkan mencapai kebahagiaan dengan jalan pintas.

Inilah warna warni kehidupan....selalu bila nak membeli seseorang akan minta yang paling baik tetapi harganya paling murah, sedangkan sesuatu yang baik tentu tinggi pula harganya. Mungkin semua orang tahu dan faham hakikat ini cuma sekadar mencuba nasib...tetapi wajarkah disepanjang kehidupan kita hanya mencuba nasib sedangkan masa terus berjalan, umur meningkat dan laluan kehidupan kita semakin hampir kegarisan penamatnya.

Oleh itu kita perlu merancang perubahan diri untuk mencapai kejayaan dan kebahagiaan. Kita perlu tahu titik mulanya, arah tujunya, berapa jauh perjalanannya, berapa ongkosnya yang perlu dibelanjakan dan sampai bila kita perlu merancang dan melakukan perubahan.

Jumaat, 19 Mac 2010

Hargai masa kita...

Walau apapun yang dirancang dan dilakukan, waktu terluang yang ada seharusnya dimanipulasi dengan bijak. Masa merupakan satu komoditi yang sangat berharga. Ia adalah ibarat air yang mengalir. Tanpa tapisan dan takungan, masa akan terus mengalir dan meninggalkan kita selamanya.

Walaupun topik pengurusan masa seringkali diutarakan, ramai yang masih memandang remeh perkara ini, seolah-olah ia bukanlah satu bahagian yang penting dalam hidup mereka. Barangkali sudah menjadi fitrah insan yang lemah, alpa dengan apa yang sepatutnya menjadi keutamaan. Atas kesedaran itulah, maka kita perlu sentiasa saling mengingatkan antara satu sama lain. Islam terutamanya amat menekankan peri pentingnya masa. Sabda Rasulullah SAW:
(Hadis sahih diriwayatkan oleh Hakim)

Maksudnya: Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara: masa mudamu sebelum tuamu, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk, dan masa hidupmu sebelum mati.

Mungkin bagi kebanyakan kita, hadis ini kedengaran agak klise atau begitu biasa didengar. Sudah tentu tanpa sebarang penghayatan, maka mesej yang cuba disampaikan akan hanya menjadi halwa telinga, hilang ditelan angin lalu. Hakikatnya Allah SWT telah menegaskan kepentingan masa spertimana firman-Nya dalam surah Al-Asr:



1. Demi masa! 2. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian 3. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, serta yang berwasiat kepada kebenaran dan saling berwasiat kepada kesabaran.

Isyarat yang cukup jelas dapat diperhatikan dalam surah ini yang dimulai dengan sumpah (qasam). Imam Syafii sendiri menilai surah ini sebagai salah satu surah yang paling sempurna petunjuknya. Menurut beliau seandainya umat memikirkan kandungan surat ini, nescaya petunjuk-petunjuknya mencakupi mereka.

Setiap makhluk yang bernyawa diberikan jangkamasa hidup yang berbeza. Ada yang dianugerahkan jangkahayat yang panjang namun tidak sedikit pula yang diberikan masa hidup yang singkat. Segalanya tertakluk kepada sejauh mana masa yang diberikan itu dinilai di sisi Yang Maha Pencipta. Di kalangan kita, ada yang masa dan hidupnya diberkati oleh Allah SWT dan ada pula yang hidupnya dipenuhi dengan kesibukan dunia sehinggakan tidak empunya masa untuk diri sendiri, keluarga dan Allah ‘Azzawajal.

Sememangnya kita tidak diberikan pengetahuan berapa lamakah lagi masa yang Allah kurniakan kepada kita. Begitu juga, berapa banyakkah sebenarnya amalan soleh dan kebajikan yang kita lakukan diterima oleh-Nya. Oleh hal yang demikian, seharusnya peringatan dari Rabb ini diteliti sedalamnya, hingga akhirnya menyentak jiwa dan hati bahawa sebenarnya tiada lagi alasan untuk kita duduk bersenang-lenang dan bertangguh.

Atas kesedaran ini, maka susunlah jadual kehidupan kita agar segala apa yang dilakukan mendapat redha Allah, bukan mengundang murka-Nya. Didiklah diri untuk meninggalkan perkara-perkara yang melalaikan sehingga mengabaikan kewajipan kita yang lain. Jangan sekali-kali kita membenarkan perkara maksiat bertandang dalam diari hidup. Semoga dengan usaha kita yang tidak seberapa dan mujahadah yang berterusan menjadi asbab untuk-Nya menerima kita sebagai tetamu istimewa di syurga kelak.

Akhir kalam, sama-sama kita hayati satu pepatah Arab yang berbunyi: Masa itu ibarat pedang. Jika kamu tidak mencantasnya, maka ia akan mencantas kamu.

Oleh itu, marilah kita bersegera dalam melakukan amal kebaikan. Terus mara ke hadapan dan jangan toleh ke belakang lagi!