Ahad, 14 Ogos 2011

Bentuk peribadi Islam melalui tadarus al-Quran

Di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, Islam menganjurkan umatnya agar bertadarus membaca al-Quran. Ia berdasarkan kepada apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dengan Jibril berdasarkan sebuah hadis yang maksudnya:
Daripada Ibn Abbas r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat pemurah. Baginda sangat pemurah khususnya dalam bulan Ramadhan ketika Jibril menemuinya. Jibril menemuinya pada setiap malam dalam bulan Ramadhan lalu bertadarus al-Quran dengan baginda." (Hadis riwayat Bukhari).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
"Tidak berhimpun sesuatu kaum dalam sebuah rumah dari rumah-rumah Allah - mereka membaca kitab Allah dan bertadarus di antara mereka - melainkan turun kepada mereka ketenangan, diliputi dengan limpahan rahmat, dilingkungi oleh para malaikat dan dipuji oleh Allah Taala dalam kalangan (malaikat) yang ada disisinya." (Hadis riwayat Abi Daud).

Menurut Mohd Shamsul Haqqil 'Azim, penulis kitab Aunul Ma'bud, maksud tadarus dalam hadis di atas ialah berkongsi membaca al-Quran di antara satu sama lain.


Jelasnya, tadarus al-Quran adalah merupakan syiar yang diamalkan semenjak zaman awal Islam. Hasil daripada syiar inilah terbentuknya keperibadian Islam yang sebenarnya. Antara ciri-ciri keperibadian Islam adalah mempunyai akidah yang benar, ibadat yang betul, akhlak yang mulia, teratur dalam setiap urusannya, disiplin menggunakan waktu dan bermanfaat kepada orang lain.

Justeru, seseorang yang mempunyai keperibadian Islam tidak akan meninggalkan syiar tadarus ini. Ia adalah merupakan amalan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat bahkan diberikan kelebihan yang banyak oleh Allah SWT. Ketenangan dan limpahan rahmat daripada Allah hasil daripada tadarus ini menjadikan seseorang itu mempunyai keperibadian yang istimewa dan tersendiri berbanding dengan mereka yang tidak bertadarus.



Dengan bertadarus, seseorang akan lebih rapat dengan al-Quran. Ia menjadi temannya yang akrab, menunjukkan jalan yang lurus dan menegurnya jika melakukan kesalahan. Generasi para sabahat r.a. lahir daripada keakraban ini. Bermula dengan keruntuhan akhlak dan moral sehingga digelar hidup dalam masyarakat jahiliyyah akhirnya menjadi peribadi insan yang mulia yang digelar sebagai generasi al-Quran yang unik.

Selain itu, bertadarus tanpa beramal dengan isi kandungan al-Quran merupakan satu penyakit yang wujud di kalangan umat Islam yang merosakkan keperibadian muslim. Mereka tidak menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan.
Firman Allah yang maksudnya: Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku Sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan Yang ditinggalkan, tidak dipakai". (Al-Furqan: 30).


Sebagai contoh kesan daripada bertadarus al-Quran sebagaimana firman Allah s.w.t  di dalam surah al-Jumuah ayat 2 yang bermaksud: “Dialah yang mengutus seorang rasul kepada kaum yang buta huruf dari kalangan mereka sendiri,yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya,menyucikan ( jiwa ) mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah ( sunnah ),meskipun sebelumnya,mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”
Ayat ini menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. dalam keadaan ummi iaitu tidak tahu membaca dan menulis akhirnya apabila alQuran diturunkan nabi membaca dan mengajar kepada sahabat-sahabatnya maka kesan daripada tindakan itu lahir satu generasi seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Bin Affan, Ali bin Abi Talib dan AbdurRahman bin Auf. Walaupun mereka itu pada zaman jahiliyah tergolong dalam golongan yang sesat.

Oleh kerana itulah tadarus al-Quran merupakan satu amalan yang dituntut untuk diamalkan oleh seluruh umat Islam khususnya para pendokong pejuang Islam supaya memahami tuntutan Islam itu melalui al-Quran itu sendiri.

Khamis, 26 Mei 2011

Allah mengetahui tahap keikhlasan kita

Ayat tafsiran :


[Al-Baqarah, Ayat : 264]

Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan menyebut-nyebut dan menyakiti perasaan si penerima seperti orang yang membelanjakan hartanya kerana riak kepada manusia, dan tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin. Mereka tidak mendapat sesuatu pun dari apa yang mereka usahakan. Dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.


[Al-Baqarah, Ayat : 265]

Dan bandingan orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan keteguhan (iman) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau tidak ditimpa hujan lebat, maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan, Allah sentiasa Melihat apa yang kamu lakukan.


[Al-Baqarah, Ayat : 266]

Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar dan anggur, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, ia mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang ia sudah tua dan mempunyai anak cucu yang kecil, lalu kebun itu diserang angin taufan yang membawa api lalu terbakarlah ia? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).



Sheikh Sya’rawi berkata: “Mereka yang seperti batu yang licin yang ada padanya debu kemudian datangnya hujan tanpa meninggalkan sebarang bekas merupakan sifat-sifat bagi siapa yang dikehendaki dengan infak secara riak kepada manusia. Lantas Allah membatalkan balasan untuk mereka dan tidak mentaufikkan ke arah kebaikan dan pahala. “Seterusnya Allah menyebut yang berlawanan dengan sifat di atas iaitu mereka yang menafkahkan semata-mata kepada Allah SWT”.

Firman Allah SWT, Dan perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi.

Sayyid Qutub berkata: “Ia menginfakkan harta kerana keyakinannya yang teguh kepada kebajikan, kerana kesedaran yang lahir dari keimanannya dan kerana keimanannya yang bertunjang dengan mendalam di dalam hati nuraninya.

“Jika hati yang keras ditutup dengan tabir riak itu dilambangkan dengan batu licin yang keras yang ditutupi tanah, maka hati yang mukmin itu dilambangkan dengan sebuah kebun yang subur yang mempunyai tanah yang dalam, dibandingkan dengan segenggam tanah di atas batu yang keras tadi, sebuah kebun yang terletak di atas sebuah dataran yang tinggi dibandingkan dengan segenggam tanah di atas batu keras yang licin tadi.

“Ini menjadikan pemandangan itu mempunyai bentuk-bentuk yang selaras. Apabila kebun ini ditimpa hujan lebat, maka ia tidak menghakiskan tanahnya yang subur sebagaimana ia menghakiskan tanah yang tipis di atas batu yang pejal itu. Malah ia menghidupkan tanam-tanamannya dan menyuburkan serta membanyakkan hasilnya”.

Firman Allah SWT: Yang disiram oleh hujan lebat, Maka kebun itu menghasilkan buahnya berlipat ganda. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, Maka hujan gerimis (pun memadai).

Al-Nasafi berkata: “Allah SWT umpamakan hal mereka dengan kebun yang disirami air dan nafkah yang banyak dan sedikit dengan hujan yang banyak sebagaimana setiap satu daripada hujan boleh menggandakan hasil tanam begitu juga nafkah mereka yang banyak dan yang sedikit selepas daripada dituntut dengannya keredaan Allah akan bertambah dan baik kesudahannya”.

Melipat ganda, Sayyid Qutub berkata: “Air hujan itu menghidupkan pokok di kebun itu sebagaimana sedekah menghidupkan hati yang mukmin lalu ia menjadi bersih dan bertambah kuat hubungannya dengan Allah, dan hartanya juga turut bersih dan Allah melipat gandakan balasannya seberapa banyak yang ia sukai, dan seterusnya kehidupan kelompok muslimin juga turut menjadi bersih, baik dan berkembang subur dengan sebab infak itu”.

Beliau menambah: “Yakni jika tidak ada hujan yang lebat, maka hujan gerimis yang sedikit cukup untuk tanah kebun yang subur itu. Itulah satu adegan yang sempurna yang memaparkan pemandangan- pemandangan yang bertentangan dan dengan perincian-perincian yang tersusun rapi. Ia dibentangkan dengan cara keselarasan yang melemahkan manusia.

“Ia melambangkan setiap perasaan di dalam hati dan setiap fikiran dengan pemandangan-pemandangan yang jelas. Ia menggambarkan perasaan-perasaan dan pergerakan-pergerakan jiwa dengan keadaan dan pemandangan- pemandangan fizikal yang setanding dengannya. Ia menyarankan ke dalam hati supaya memilih jalan yang betul dengan cara mudah yang terbaik”.



Firman Allah SWT: Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu perbuat.

Al-Nasafi berkata: “Allah melihat segala amalanmu sama ada banyak atau sedikit serta mengetahui niatmu sama ada riak atau ikhlas.

“Oleh sebab dengan ini dari satu aspek yang menjadi tontonan mata kasar dan mata hati dan segala yang disebut di dalamnya juga dikembalikan kepada Allah Yang Maha Melihat dan Mengetahui segala apa yang ada di sebalik segala yang nyata”.

Firman Allah SWT: Apakah ada salah seorang di antaramu yang ingin mempunyai kebun kurma dan anggur yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dia mempunyai dalam kebun itu segala macam buah-buahan.

Al-Maghari berkata: “Telah berlangsung sunah al-Quran bahawa menyebut kemuliaan dengan buah dan pohon kurma dengan buahnya kerana setiap sesuatu dari pohon kurma semuanya memberi manfaat kepada kehidupan manusia sama ada daunnya, batangnya, mayangnya, pelepahnya yang boleh digunakan kesemuanya”.

Sayyid Qutub berkata: “Ia sebuah kebun yang teduh, rimbun, subur dan berbuah. Demikianlah juga sifat sedekah dan kesan-kesannya dan beginilah keadaannya dalam hidup si pemberi, dalam hidup si penerima dan dalam hidup masyarakat manusia.

“Demikianlah juga sedekah itu mempunyai roh, bayang yang teduh, kebajikan dan keberkatan, mempunyai makanan dan minuman dan mempunyai kebersihan, kesuburan dan pertambahan.

“Siapakah yang ingin mempunyai kebun atau kebajikan yang seperti ini kemudian ia melepaskan (ribut) perbuatan yang membangkit- bangkitkan pemberian dan perkataan yang menyakitkan hati dan memusnahkan kebajikan itu sebagaimana kebun dimusnahkan oleh ribut yang kencang yang mengandungi api.

“Bilakah kebun itu dimusnahkan? Ia dimusnahkan pada waktu tuannya berada dalam keadaan yang paling lemah untuk menyelamatkannya dan paling berkehendak kepada bayang-bayang yang teduh dan hasilnya yang baik”.

Firman Allah SWT: Kemudian datanglah masa tua pada orang itu sedang dia mempunyai keturunan yang masih kecil-kecil. Maka kebun itu ditiup angin keras yang mengandung api, lalu terbakarlah.

Ibnu Jauzi berkata, ayat ini menggambarkan perumpamaan Allah dengan sebab kerugian ketika ditarik nikmat ketika keperluan yang amat mendesak.


Orang yang dimaksudkan ini terdapat tiga pandangan ulama :

Pertama: Bahawa ia diumpamakan yang disudahi kehidupannya dengan amalan yang tidak baik seperti kata Ibnu Abbas.
Kedua: Bahawa ia diumpamakan seperti orang yang cuai pada ketaatan kepada Allah sehingga mati. Inilah pendapat Mujahid.
Ketiga: Ia diumpamakan seperti orang yang riak dalam nafkah yang terputus manfaatnya ketika ia amat perlu. Inilah pendapat As-Suddi.

Firman Allah SWT: Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu supaya kamu memikirkannya.

Ibnu Kathir berkata: “Supaya kamu mengambil iktibar dan memahami segala perumpamaan dan makna dan kamu menurunkannya mengikut apa yang dikehendakinya”.

Iktibar Ayat :
* Perumpamaan untuk mendekatkan kefahaman (tentang keikhlasan).
* Infak kerana Allah mendapat ganjaran yang besar.
* Mengisbatkan sifat Allah yang Maha Melihat.

Sabtu, 2 April 2011

10 WASIAT IMAM HASAN AL-BANNA

1. Bangunlah segera untuk melakukan solat apabila mendengar Azan walau bagaimana pun keadaannya.


2. Baca, tela'ah, dan dengarkanlah Al-Qur'an atau zikirlah kepada Allah
dan jangan engkau senang menghambur-hamburkan waktumu dalam
masalah yang tidak ada manfaatnya.

3. Bersungguh-sungguhlah untuk mampu berbicara dalam bahasa Arab dengan fasih.


 4. Jangan memperbanyak perdebatan dalam berbagai bidang
pembicaraan sebab hal ini semata-mata tidak akan mendatangkan
kebaikan.


5. Jangan banyak tertawa sebab hati yang selalu berkomunikasi dengan Allah (zikir) adalah tenang dan tenteram.


6. Jangan bergurau, karena ummat yang berjihad tidak berbuat kecuali dengan bersungguh-sungguh terus menerus.


 7. Jangan mengeraskan suara diatas suara yang diperlukan pendengar, karena hal ini akan mengganggu dan menyakiti.


8. Jauhilah dari membicarakan kejelekan orang lain atau melukainya dalam bentuk apapun dan janganlah berbicara kecuali yang baik.


9. Berta'aruflah dengan saudaramu yang kalian temui walaupun dia tidak
meminta, sebab prinsip dakwah kita adalah cinta dan ta'awun (kerja
sama)


10. Pekerjaan rumah kita sebenarnya lebih bertumpuk dari pada waktu
yang tersedia, maka tolonglah selainmu untuk memanfaatkan waktunya
dan apabila kalian mempunyai sesuatu keperluan maka
sederhanakanlah dan percepatlah untuk diselesaikan.

Khamis, 17 Mac 2011

Resepi kejayaan sang semut...


Pengajaran terbesar yang dapat disaksikan dalam dunia kejayaan antaranya adalah kehidupan haiwan yang bernama semut. Ini juga yang mungkin cuba di gambarkan oleh penerbit filem “The Bug’s Life”. Semut sentiasa berusaha secara terus menerus untuk berjaya dan mencapai apa yang diinginkan. Ia merangkak di sebuah pokok lalu terjatuh, kemudian bangun dan berusaha untuk merangkak kembali di atas pokok dan terjatuh lagi, demikian seterusnya. Perkara tersebut terjadi berulang-ulang, namun ia tetap berusaha tanpa merasa lelah dan bosan hingga akhirnya ia berjaya naik ke atas pokok yang diinginkan dan mendapatkan apa yang dicari.


Apabila jalan yang akan dilalui terhalang, maka semut akan berusaha lalu dari arah kanan dan kiri, namun jika tetap mendapatkan kesukaran untuk bergerak maju, maka ia akan berhenti sekejap kemudian kembali lagi dengan sebuah tenaga yang jauh lebih kuat dibandingkan dengan yang pertama. Mungkin semut akan menjauhi jalannya yang pertama kerana ada beberapa rintangan, namun ia akan tetap kembali berjalan menuju arah yang sama dengan mencari jalan yang lain hingga akhirnya sampai pada tujuan.

Haiwan semut memiliki kekuatan yang luar biasa dalam merealisasikan tekadnya untuk meraih apa yang diinginkan. Ia tidak pernah merasa bosan dan putus asa, sehingga semut patut dijadikan contoh dalam hal keinginan dan tekad yang kuat yang tidak mengenal kata putus asa.



Ada satu cerita, di mana suatu ketika ada seorang Arab Badwi keluar untuk satu keperluan. Ketika dia merasa sangat letih dan putus asa, dia duduk dan berfikir untuk kembali ke tempat asalnya. Ketika itu dia melihat seekor semut yang sedang merangkak naik ke atas batu besar, namun semut tersebut terjatuh, kemudian merangkak lagi dan jatuh lagi. Hal itu terjadi berulang kali, namun si semut tetap berusaha dan berusaha, hingga akhirnya ia berjaya sampai ke atas batu besar tersebut. Melihat pemandangan di depannya, orang Arab Badwi tersebut berkata di dalam hatinya, “Saya sepatutnya lebih patut untuk bersabar dan berusaha berbanding semut tersebut.” Kemudian dia pun meneruskan perjalanannya hingga akhirnya sampai ke tempat tujuan yang diinginkan. Lalu dia berkata:

“Cari dan raih, jangan pernah berkeluh kesah dan bosan daripada berusaha untuk meraih apa yang kamu inginkan, kerana penyakit orang yang ingin mencari dan meraih sesuatu adalah rasa bosan.”

‘Tidakkah kamu melihat titisan air yang tidak seberapa panjang, namun ia boleh mengalahkan kerasnya sebuah batu.”



Sesungguhnya di dalam kehidupan semut terdapat pengajaran dan teladan bagi orang yang berakal, iaitu ketabahan, kesabaran, tekad kuat, sikap pantang menyerah dan berusaha tanpa mengenal erti lelah dan bosan. Semut terkenal memiliki kecerdikan yang luar biasa di dalam usahanya mendapatkan apa yang diinginkan. Seseorang yang pernah mengamati dan meneliti tentang kehidupan semut mengatakan bahawa semut mengumpulkan makanannya dari musim panas hingga musim sejuk. lni kerana tidak kerap keluar pada musim sejuk. Oleh itu ia menyimpan makanan
untuk musim sejuk dan hanya akan dimakan ketika masanya telah datang. Agar biji-bijian yang ia simpan tidak tumbuh di dalam tempat penyimpanan, maka dengan izin dan kuasa Allah S.W.T. (Zat yang telah memberikan bentuk kejadian kepada tiap-tiap sesuatu dan membekalinya dengan sesuatu untuk mencari penghidupan) si semut membelah biji tersebut dari tengah agar tidak tumbuh.

Apabila jalannya dihalangi oleh air yang tergenang hingga tidak dapat lalu dari arah ter-sebut, maka semut dan rakan-rakannya saling bergandingan untuk membuat seperti jambatan. Apabila semut-semut lainnya sudah menyeberang, maka semut-semut yang membentuk jambatan tadi merapat ke tepi. Maha Suci Zat yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu bentuk kejadiannya, kemudian membekalkannya dengan akal, naluri dan kudrat alamiah untuk kelanjutan kehidupan masing-masing!! Apabila seekor semut menemukan sepotong daging atau kaki belalang namun tidak kuat untuk membawanya sendiri, maka ia akan pulang ke rumah semut dan memanggil rakan-rakannya yang lain untuk bersama-sama membawa makanan tersebut. Semut memiliki sifat ketabahan dan kesabaran yang menakjubkan yang boleh dijadikan pelajaran bagi orang yang ingin meraih kejayaan.

Bahkan seandainya kamu meletakkan sebuah batu di tengah-tengah jalan yang digunakan untuk tempat lalu sekawanan semut, maka mereka akan berhenti.Namun mereka tidak akan berbalik arah ke belakang, tetapi menunggu dan berusaha menaiki batu yang kamuletakkan, atau berusaha lalu melalui celah-celah yang ada di kanan dan kiri batu, atau mencari jalan alternatif lainyang memiliki arah tujuan yang sama. lni kerana mereka tidak mengenal erti kata mundur dan kembali. Sama-samalah kita menhayati dan mengambil iktibar daripada salah satu ciptaan Allah SWT, andai kita orang yang berfikir.

Selasa, 15 Mac 2011

Dunia Sudah Terlalu Tua

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

Firman Allah didalam surah Al-Hadid ayat 22 yang bermaksud :

“ Setiap bencana yang menimpa dibumi dan menimpa dirimu sendiri , semuanya telah tertulis dalam kitab ( Lauh Mahfuz ) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh , yang demikian itu mudah bagi Allah”

Semalam.. Sebagaimana yang telah diketahui umum , tanggal 11 mac 2011.. Dunia telah digemparkan dengan kejadian gempa bumi di Jepun berukuran 8.9 Skala Richter yang seterusnya membawa kepada kejadian tsunami.. Tsunami yang melanda beberapa kawasan dinegara matahari terbit itu sekaligus telah membanjiri kawasan pertanian serta menghanyutkan kediaman, kenderaan dan kapal serta turut menyebabkan beberapa kebakaran berlaku.




Firman Allah didalam surah Muhammad ayat 18 yang bermaksud :

“Maka apa lagi yang mereka tunggu-tunggu selain hari kiamat yang akan datang kepada mereka secara tiba-tiba , kerana tanda-tandanya sungguh telah datang . Maka apa gunanya bagi mereka kesedaran mereka itu apabila ( hari kiamat ) itu sudah datang ?”

Satu persatu Allah telah memberi peringatan kepada kita semua bahawasanya dunia ini sudah terlalu tua.. Kejadian yang berlaku di alam semesta ciptaanNya mencelikkan hati dan mengingatkan kita tentang janjiNya ( Hari Kiamat ).. Namun sebahagian manusia masih terus berpaling dari jalanNya..








Jika dihitung satu persatu nikmat Allah dimuka bumi ini.. Mana satukah yang bukan milikNya ? Hatta jasad yang sempurna Allah ciptakan ini juga adalah milikNya.. Sebahagian manusia terlalu asyik mengejar dunia yang sementara , berbondong-bondong mengumpul harta tanpa menilai yang mana halal dan haram disisiNya.. Nafsu dijadikan pakaian dan neraca iman diketepikan.. Dunia dijadikan tujuan sedang matlamat akhir ( hari akhirat yang kekal abadi ) ditinggalkan.. Keseronokan dijadikan pedoman sedangkan Al-Quran dan Sunnahnya dikebelakangkan.. Mana satukah pilihan hati ? Adakah dunia yang bersifat sementara atau kehidupan akhirat yang pasti kekal selamanya ?

Firman Allah didalam surah Al-Ankabut ayat 64 yang bermaksud :

“Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan . Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya , sekiranya mereka mengetahui”

Jika direnungkan ayat ini .. Betapa kasihnya Allah terhadap manusia.. Didalam kalamNya yang agung , telah beberapa kali Allah mengingatkan pada manusia bahawa hidup ini adalah satu keseronokan yang memperdaya.. Tanpa membentengi diri dengan nilai keimanan dan taqwa , dunia yang penuh tipu daya ini akan dirasakan begitu indah sehingga membuatkan diri lupa pada Maha Pencipta.. Dan bahawasanya iblis telah bersumpah dihadapan Allah untuk menyesatkan anak-anak Adam( manusia ) supaya berpaling dari menyembah Allah Yang Maha Esa.. Tipu daya syaitan juga yang sentiasa membuatkan kelalaian dunia indah dan seronok dipandangan mata sehingga hati menjadi buta untuk menilai mana satu dosa dan mana satu pahala..

Dan Allah berfirman didalam surah Al-Qiyamah ayat 13-14 yang bermaksud :

13 : “ Pada hari itu diberitakan kepada manusia apa yang telah dikerjakannya dan apa yang telah dilalaikannya”
14 : “ Bahkan manusia menjadi saksi atas dirinya sendiri”

Allah berfirman lagi dalam surah An-Nur ayat 24 – 25 yang bermaksud :

24 : “Pada hari , (ketika) lidah , tangan ,dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan”
25 : “ Pada hari itu Allah menyempurnakan balasan yang sebenarnya bagi mereka , dan mereka mengetahui bahawa Allah Maha Benar , Maha Menjelaskan”

Telah sampai kepada manusia tanda-tanda kebesaran dan keagunganNya supaya daripada situ manusia dapat berfikir dan mengingati bahawa dunia yang Allah ciptakan ini tidak akan kekal buat selama-lamanya.. Selagi masih ada waktu dan kesempatan , maka gunakanlah ia dengan sebaiknya kerana kita semua tidak tahu bilakah ajal akan menjemput kita.. Tidak kira tua atau muda , miskin atau kaya .. Semuanya pasti akan kembali menghadap Allah yang Maha Esa.. Dan sesungguhnya Allah Yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana.. Dan apabila saat itu menjelang tiba , apakah cukup amalan yang dibawa.. Semoga Allah memelihara dan merahmati kita semua dunia dan akhirat.. Semoga Allah melindungi seluruh umat islam diseluruh dunia dan memberi hidayah buat hamba-hambaNya yang tersasar.. Dan Allah itu Maha Besar Pengampunannya lagi Maha Menerima Taubat..