Jumaat, 23 Mac 2012

MeNeLuSuRi KiSah SeOraNg HaMba...

Di kala sibuk dengan assignment yang menggunung, terasa diri ini perlukan satu kekuatan untuk terus istiqamah di jalan-Nya. Jadi, dengan melihat kembali sejarah para sahabat bersama baginda ia akan men'charge' kembali iman kita serta memberi semangat kepada kita untuk terus menjalani kehidupan yang penuh onak dan duri ini.  Kali ini sekadar ingin berkongsi sebuah cerita ringkas, tentang seorang jejaka bernama Julaibib.


Julaibib ni, sebenarnya ialah seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w., mesti korang tak pernah atau jarang mendengar namanya kan? Dia memang seorang yang tidak terkenal lagi miskin, bahkan tidak diketahui nasabnya. Punya la miskin si Julaibib ni, dah la tiada rupa (kulit hitam), kalau di tempat yang gelap memang x akan nampak lah si Julaibib ni kecuali kalau dia senyum nampak giginya yang putih je lah. Nak ceritanya di sini walaupun dia ni miskin, tapi dia ni rajin berzikir, tak pernah miss saf pertama solat jemaah dan menyertai banyak perperangan. Macam dgn kita? Dah berapa banyak solat jemaah tertinggal?(astaghfirullah..teguran buat diri ini).


Suatu hari, Nabi Muhammad s.a.w. bertanya pada Julaibib, "Hai Julaibib, kamu tak ingin menikah?" maka jawab beliau, "Wahai Rasulullah, siapa yang mahu menikah denganku yang tak punya harta mahupun kedudukan?" Banyak kali Nabi tanya soalan yang sama kepada Julaibib, sampai suatu saat, Nabi mengutus beliau kepada sebuah keluarga untuk meminang seorang gadis bagi dirinya sendiri. Tuu dia...bukan calang2 pilihan calon isteri beliau, Rasulullah s.a.w., insan agung kekasih Allah sendiri yang pilihkan! MasyaAllah tabarakallah.. Ayah si gadis tak berkenan dengan pinangan Julaibib, namun puterinya lantas bersuara, "Sanggupkah ayah dan ibu menolak permintaan Rasullullah? Tidak, demi Allah yang jiwaku ada dalam kekuasaanNya." Nah, ternyata di situ betapa taatnya gadis itu terhadap Allah dan RasulNya. Maka terbinalah sebuah rumah tangga berlandaskan taqwa dan redhaNya.

Sampai suatu masa, Julaibib telah menyertai sebuah perperangan, dan telah berjaya membunuh 7 orang musuh dan dia juga berjaya memperolehi syahid di jalan Allah. Rasulullah s.a.w. memeriksa nama-nama sahabat yang gugur syahid, tetapi sahabat2 yang melaporkan senarai nama tu terlupa akan Julaibib. Nak kata punya low profile Julaibib ni sampai boleh terlupa nama dia. Tetapi, Rasulullah tetap ingat! Bahkan baginda berkata, "Tapi, aku merasa kehilangan Julaibib.", akhirnya, Nabi s.a.w. menemukan jenazah beliau yang ditutupi pasir, lalu membersihkan pasir dari wajahnya. Hebatnya Julaibib, sampai Rasulullah sendiri merasakan kehilangannya walaupun namanya tiada dalam official list yang diberikan oleh sahabat2 lain.

Lantas, Rasulullah s.a.w. berkata, "Ternyata engkau telah membunuh 7 orang musuhmu kemudian engkau sendiri terbunuh. Engkau termasuk golonganku dan aku pun termasuk golonganmu. Engkau termasuk golonganku dan aku pun termasuk golonganmu. Engkau termasuk golonganku dan aku pun termasuk golonganmu." 3 kali Nabi ulang ayat yang sama, menunjukkan betapa tingginya darjat Julaibib yang syahid di jalan Allah di sisi Nabi Muhammad s.a.w.

Tidakkah kita mahu menjadi umat yang dihargai Nabi? Bukan harta yang dipandang, bukan kedudukan yang dilihat, tetapi, iman dan pengorbanan yang menjadi ukuran! Aku akhiri cerita ini dgn suatu firman Allah S.W.T. yg bermaksud: "Barangsiapa menghendaki keuntungan di akhirat akan kami tambahkan keuntungan itu baginya, dan barangsiapa menghendaki keuntungan di dunia kami berikan kepadanya sebahagian darinya (keuntungan dunia), tetapi dia tidak akan mendapat bahagian di akhirat" (Asy-Syura:20)

Selasa, 20 Mac 2012

Memiliki Hati yang Sejahtera (Qalbun Salem)

            Umum mengetahui bahawa hati merupakan penentu tindakan seseorang sama ada bertindak secara rasional atau tidak.Dalam ayat yang mudah sama ada segala tindakan yang dilakukan itu merupakan satu tindakan yang menjurus ke jalan yang diredhai Allah atau sebaliknya.Hati juga adalah raja dalam kerajaan diri.Tanyalah diri kita, adakah segala kebaikan yang dilakukan selama ini dikuasai oleh hati yang mengikut telunjuk syaitan ataupun hati yang benar-benar ikhlas untuk mendapatkan keredhaan Allah.Betapa sukarnya mendidik hati yang sentiasa menjadi rebutan antara malaikat dan syaitan ini.
         
       
            Itulah peperangan yang perlu dilalui oleh setiap mukmin bagi mendapatkan qalbun salim.Sudah pasti setiap mukmin tidak mahu menyimpan hati yang sakit, hati yang dikuasai oleh sifat mazmumah serta begitu sedikit atau tipis sifat mahmudah yang bertandang dalam diri.Begitu juga hati yang mati, hati yang tiada nur, hati yang penuh dengan titik-titik dosa atau noda yang pasti membuatkan manusia itu lupa atau lalai dengan tujuan hidupnya di dunia.Bagaimana hendak mendapatkan hati yang dilimpahi nurNya yang dapat mengubah kehidupan manusia itu sendiri?Bagaimana hendak berdakwah sesama mukmin, begitu juga dengan ahli keluarga sendiri yang kadang-kala terlalu banyak dugaannya berbanding orang lain yang harus dijalani?Pokok pangkalnya semuanya berpunca dari hati,hati yang cintakan sesama Islam, sesama saudara seagama, kaum keluarga, hati yang ingin mengubah diri, hati yang mencintai kebaikan, tapi mampukan kita istiqamah kerana terlalu besar peperangan dengan syaitan ini. Sama ada kita mampu melaluinya atau tidak, itulah kehidupan yang perlu dilalui dan dijalani.
         
           Bagaimana hendak memperoleh hati yang sejahtera ini? Hati yang sejahtera dari syirik, syak, was-was, hati yang sejahtera dari bintik hitam dosa, hati yang sejahtera dari cinta kepada dunia serta hati yang sejahtera dari sifat mazmumah? Adakah hanya memadai solat, membaca Al-Quran semata-mata? Bagaimana pula dengan niat semasa mengerjakan ibadah tersebut? Adakah kerana inginkan pujian manusia? Atau adakah kerana sebab-sebab lain? Pokok pangkalnya bagi memperoleh hati yang sedemikian rupa adalah dengan keikhlasan yang amat tinggi dalam hati kita. Hanya dengan ikhlas melakukan ibadah dan amalan kebajikan dapat membentengi diri dan menjadi pendinding dari hasutan syaitan. Sabda Rasulullah SAW: Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah. "Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa dan harta benda kamu, tetapi Allah memandang hati dan amal kamu". Peganglah hadis ini, semoga menjadi dorongan dan pedoman serta panduan kepada kita.
    
           Bagaimana hendak membentuk hati yang sejahtera? Semoga Allah memberi kita kelapangan masa dan peluang bagi mempelajari ilmu berkaitan hati, muhasabahlah diri kita, jangan memandang hina kepada sesiapapun hatta manusia yang berperangai buruk sekalipun.Aturlah masa sebaik-baiknya kerana Demi masa:Sesungguhnya manusia itu sentiasa berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran...Surah Al-Asr.
         
         
            Jagalah makan dan minum kita dari makan yang haram dan syubhat.Di keliling kita, manusia terlalu terdedah dengan makanan-makanan segera dan banyak keraguan dalam kandungannya. Oleh itu marilah sama-sama kita mengimarahkan masjid,beristighfar dan bertaubat, memelihara diri daripada dosa, buang sifat mazmumah, berjihad melawan nafsu,menyuburkan amalan soleh, bersahabat dengan orang soleh, istiqamahkan zikir dan Al quran, sentiasa mengingati mati dan paling utama berdoa kerana doa itu senjata mukmin. Akhir kata, berusahalah kita mendapatkan Nur yang gemilang bagi hati. Semoga kita tergolong dalam manusia yang dipilih oleh Allah ke jalannya. Marilah kita bersama-sama istiqamah dalam segala amalan kita, meskipun kita mendapat cacian orang sekeliling kerana sesungguhnya amalan yang ikhlas pasti dapat membantu kita mendapatkan qalbun salim.

Jumaat, 9 Mac 2012

Kerana ia sangat bernilai...

"Demi masa sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan mereka yang menasihati kepada kebenaran dan mereka yang menasihati untuk kesabaran" (Al –'Asr 1-3)

Tanpa disedari masa berlalu begitu pantas sekali. Hari berganti hari, bulan berganti bulan, dan tahun berganti tahun. Meningkatnya angka tahun, bermakna semakin tua usia seseorang itu, dan bertambah tualah usia dunia ini maka bermakna saat kedatangan hari kiamat itu sudah benar semakin hampir terjadi. Jika lahirnya Nabi Muhammad SAW dianggap sebagai bermulanya zaman pangakhiran dunia kerana Baginda SAW itu adalah merupakan nabi akhir zaman. Tiada nabi selepas baginda, bermakna kita ini adalah umat yang terakhir menduduki dunia ini.

...الوقت كالسيف إن لم تقطعه قطعك...
 Justeru itu, masa atau nyawa yang masih berbaki kepada setiap insan itu tidak sewajarnya dibiarkan begitu sahaja. Hendaklah kita menjadikannya begitu bernilai dan berharga. Seperti kata pepatah Melayu “ Masa itu ibarat emas “ malah maksud sebuah hadis Rasulullah SAW “ Bahawa masa itu ibarat pedang yang tajam, Jika kamu tidak memotongnya maka kamu akan dipotongnya “. Manusia
akan sentiasa berada didalam kerugian sekiranya tidak dimenfaatkan masa itu dengan panduan iman dan taqwa. Jika masa itu diisi dengan aktiviti harian yang tiada manfaat maka ia seumpama menanam pohon lalang, yang tiada berguna dan tiada memberi pulangan apa apa, sepertimana maksud hadis Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah r.a. " Diantara tanda kebaikan keIslaman seseorang ialah meninggalkan perkara yang tidak berguna baginya " Masa itu sepatutnya digunakan sebaiknya kerana ia sesuatu yang tidak dapat dikembalikan semula. Masa muda yang lalu itu tidak dapat dikembalikan lagi apabila sekarang kita dipanjat usia tua, begitulah juga masa sihat dan masa lapang tiada siapa yang boleh mengembalikannnya. Nabi SAW bersabda " Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sempit dan masa senang sebelum susah dan masa hidup sebelum mati. "