Jumaat, 19 Mac 2010

Hargai masa kita...

Walau apapun yang dirancang dan dilakukan, waktu terluang yang ada seharusnya dimanipulasi dengan bijak. Masa merupakan satu komoditi yang sangat berharga. Ia adalah ibarat air yang mengalir. Tanpa tapisan dan takungan, masa akan terus mengalir dan meninggalkan kita selamanya.

Walaupun topik pengurusan masa seringkali diutarakan, ramai yang masih memandang remeh perkara ini, seolah-olah ia bukanlah satu bahagian yang penting dalam hidup mereka. Barangkali sudah menjadi fitrah insan yang lemah, alpa dengan apa yang sepatutnya menjadi keutamaan. Atas kesedaran itulah, maka kita perlu sentiasa saling mengingatkan antara satu sama lain. Islam terutamanya amat menekankan peri pentingnya masa. Sabda Rasulullah SAW:
(Hadis sahih diriwayatkan oleh Hakim)

Maksudnya: Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara: masa mudamu sebelum tuamu, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk, dan masa hidupmu sebelum mati.

Mungkin bagi kebanyakan kita, hadis ini kedengaran agak klise atau begitu biasa didengar. Sudah tentu tanpa sebarang penghayatan, maka mesej yang cuba disampaikan akan hanya menjadi halwa telinga, hilang ditelan angin lalu. Hakikatnya Allah SWT telah menegaskan kepentingan masa spertimana firman-Nya dalam surah Al-Asr:



1. Demi masa! 2. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian 3. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, serta yang berwasiat kepada kebenaran dan saling berwasiat kepada kesabaran.

Isyarat yang cukup jelas dapat diperhatikan dalam surah ini yang dimulai dengan sumpah (qasam). Imam Syafii sendiri menilai surah ini sebagai salah satu surah yang paling sempurna petunjuknya. Menurut beliau seandainya umat memikirkan kandungan surat ini, nescaya petunjuk-petunjuknya mencakupi mereka.

Setiap makhluk yang bernyawa diberikan jangkamasa hidup yang berbeza. Ada yang dianugerahkan jangkahayat yang panjang namun tidak sedikit pula yang diberikan masa hidup yang singkat. Segalanya tertakluk kepada sejauh mana masa yang diberikan itu dinilai di sisi Yang Maha Pencipta. Di kalangan kita, ada yang masa dan hidupnya diberkati oleh Allah SWT dan ada pula yang hidupnya dipenuhi dengan kesibukan dunia sehinggakan tidak empunya masa untuk diri sendiri, keluarga dan Allah ‘Azzawajal.

Sememangnya kita tidak diberikan pengetahuan berapa lamakah lagi masa yang Allah kurniakan kepada kita. Begitu juga, berapa banyakkah sebenarnya amalan soleh dan kebajikan yang kita lakukan diterima oleh-Nya. Oleh hal yang demikian, seharusnya peringatan dari Rabb ini diteliti sedalamnya, hingga akhirnya menyentak jiwa dan hati bahawa sebenarnya tiada lagi alasan untuk kita duduk bersenang-lenang dan bertangguh.

Atas kesedaran ini, maka susunlah jadual kehidupan kita agar segala apa yang dilakukan mendapat redha Allah, bukan mengundang murka-Nya. Didiklah diri untuk meninggalkan perkara-perkara yang melalaikan sehingga mengabaikan kewajipan kita yang lain. Jangan sekali-kali kita membenarkan perkara maksiat bertandang dalam diari hidup. Semoga dengan usaha kita yang tidak seberapa dan mujahadah yang berterusan menjadi asbab untuk-Nya menerima kita sebagai tetamu istimewa di syurga kelak.

Akhir kalam, sama-sama kita hayati satu pepatah Arab yang berbunyi: Masa itu ibarat pedang. Jika kamu tidak mencantasnya, maka ia akan mencantas kamu.

Oleh itu, marilah kita bersegera dalam melakukan amal kebaikan. Terus mara ke hadapan dan jangan toleh ke belakang lagi!

Tiada ulasan: