Jumaat, 9 Mac 2012

Kerana ia sangat bernilai...

"Demi masa sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan mereka yang menasihati kepada kebenaran dan mereka yang menasihati untuk kesabaran" (Al –'Asr 1-3)

Tanpa disedari masa berlalu begitu pantas sekali. Hari berganti hari, bulan berganti bulan, dan tahun berganti tahun. Meningkatnya angka tahun, bermakna semakin tua usia seseorang itu, dan bertambah tualah usia dunia ini maka bermakna saat kedatangan hari kiamat itu sudah benar semakin hampir terjadi. Jika lahirnya Nabi Muhammad SAW dianggap sebagai bermulanya zaman pangakhiran dunia kerana Baginda SAW itu adalah merupakan nabi akhir zaman. Tiada nabi selepas baginda, bermakna kita ini adalah umat yang terakhir menduduki dunia ini.

...الوقت كالسيف إن لم تقطعه قطعك...
 Justeru itu, masa atau nyawa yang masih berbaki kepada setiap insan itu tidak sewajarnya dibiarkan begitu sahaja. Hendaklah kita menjadikannya begitu bernilai dan berharga. Seperti kata pepatah Melayu “ Masa itu ibarat emas “ malah maksud sebuah hadis Rasulullah SAW “ Bahawa masa itu ibarat pedang yang tajam, Jika kamu tidak memotongnya maka kamu akan dipotongnya “. Manusia
akan sentiasa berada didalam kerugian sekiranya tidak dimenfaatkan masa itu dengan panduan iman dan taqwa. Jika masa itu diisi dengan aktiviti harian yang tiada manfaat maka ia seumpama menanam pohon lalang, yang tiada berguna dan tiada memberi pulangan apa apa, sepertimana maksud hadis Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah r.a. " Diantara tanda kebaikan keIslaman seseorang ialah meninggalkan perkara yang tidak berguna baginya " Masa itu sepatutnya digunakan sebaiknya kerana ia sesuatu yang tidak dapat dikembalikan semula. Masa muda yang lalu itu tidak dapat dikembalikan lagi apabila sekarang kita dipanjat usia tua, begitulah juga masa sihat dan masa lapang tiada siapa yang boleh mengembalikannnya. Nabi SAW bersabda " Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sempit dan masa senang sebelum susah dan masa hidup sebelum mati. "


Tiada ulasan: