Jumaat, 23 Mac 2012

MeNeLuSuRi KiSah SeOraNg HaMba...

Di kala sibuk dengan assignment yang menggunung, terasa diri ini perlukan satu kekuatan untuk terus istiqamah di jalan-Nya. Jadi, dengan melihat kembali sejarah para sahabat bersama baginda ia akan men'charge' kembali iman kita serta memberi semangat kepada kita untuk terus menjalani kehidupan yang penuh onak dan duri ini.  Kali ini sekadar ingin berkongsi sebuah cerita ringkas, tentang seorang jejaka bernama Julaibib.


Julaibib ni, sebenarnya ialah seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w., mesti korang tak pernah atau jarang mendengar namanya kan? Dia memang seorang yang tidak terkenal lagi miskin, bahkan tidak diketahui nasabnya. Punya la miskin si Julaibib ni, dah la tiada rupa (kulit hitam), kalau di tempat yang gelap memang x akan nampak lah si Julaibib ni kecuali kalau dia senyum nampak giginya yang putih je lah. Nak ceritanya di sini walaupun dia ni miskin, tapi dia ni rajin berzikir, tak pernah miss saf pertama solat jemaah dan menyertai banyak perperangan. Macam dgn kita? Dah berapa banyak solat jemaah tertinggal?(astaghfirullah..teguran buat diri ini).


Suatu hari, Nabi Muhammad s.a.w. bertanya pada Julaibib, "Hai Julaibib, kamu tak ingin menikah?" maka jawab beliau, "Wahai Rasulullah, siapa yang mahu menikah denganku yang tak punya harta mahupun kedudukan?" Banyak kali Nabi tanya soalan yang sama kepada Julaibib, sampai suatu saat, Nabi mengutus beliau kepada sebuah keluarga untuk meminang seorang gadis bagi dirinya sendiri. Tuu dia...bukan calang2 pilihan calon isteri beliau, Rasulullah s.a.w., insan agung kekasih Allah sendiri yang pilihkan! MasyaAllah tabarakallah.. Ayah si gadis tak berkenan dengan pinangan Julaibib, namun puterinya lantas bersuara, "Sanggupkah ayah dan ibu menolak permintaan Rasullullah? Tidak, demi Allah yang jiwaku ada dalam kekuasaanNya." Nah, ternyata di situ betapa taatnya gadis itu terhadap Allah dan RasulNya. Maka terbinalah sebuah rumah tangga berlandaskan taqwa dan redhaNya.

Sampai suatu masa, Julaibib telah menyertai sebuah perperangan, dan telah berjaya membunuh 7 orang musuh dan dia juga berjaya memperolehi syahid di jalan Allah. Rasulullah s.a.w. memeriksa nama-nama sahabat yang gugur syahid, tetapi sahabat2 yang melaporkan senarai nama tu terlupa akan Julaibib. Nak kata punya low profile Julaibib ni sampai boleh terlupa nama dia. Tetapi, Rasulullah tetap ingat! Bahkan baginda berkata, "Tapi, aku merasa kehilangan Julaibib.", akhirnya, Nabi s.a.w. menemukan jenazah beliau yang ditutupi pasir, lalu membersihkan pasir dari wajahnya. Hebatnya Julaibib, sampai Rasulullah sendiri merasakan kehilangannya walaupun namanya tiada dalam official list yang diberikan oleh sahabat2 lain.

Lantas, Rasulullah s.a.w. berkata, "Ternyata engkau telah membunuh 7 orang musuhmu kemudian engkau sendiri terbunuh. Engkau termasuk golonganku dan aku pun termasuk golonganmu. Engkau termasuk golonganku dan aku pun termasuk golonganmu. Engkau termasuk golonganku dan aku pun termasuk golonganmu." 3 kali Nabi ulang ayat yang sama, menunjukkan betapa tingginya darjat Julaibib yang syahid di jalan Allah di sisi Nabi Muhammad s.a.w.

Tidakkah kita mahu menjadi umat yang dihargai Nabi? Bukan harta yang dipandang, bukan kedudukan yang dilihat, tetapi, iman dan pengorbanan yang menjadi ukuran! Aku akhiri cerita ini dgn suatu firman Allah S.W.T. yg bermaksud: "Barangsiapa menghendaki keuntungan di akhirat akan kami tambahkan keuntungan itu baginya, dan barangsiapa menghendaki keuntungan di dunia kami berikan kepadanya sebahagian darinya (keuntungan dunia), tetapi dia tidak akan mendapat bahagian di akhirat" (Asy-Syura:20)

Selasa, 20 Mac 2012

Memiliki Hati yang Sejahtera (Qalbun Salem)

            Umum mengetahui bahawa hati merupakan penentu tindakan seseorang sama ada bertindak secara rasional atau tidak.Dalam ayat yang mudah sama ada segala tindakan yang dilakukan itu merupakan satu tindakan yang menjurus ke jalan yang diredhai Allah atau sebaliknya.Hati juga adalah raja dalam kerajaan diri.Tanyalah diri kita, adakah segala kebaikan yang dilakukan selama ini dikuasai oleh hati yang mengikut telunjuk syaitan ataupun hati yang benar-benar ikhlas untuk mendapatkan keredhaan Allah.Betapa sukarnya mendidik hati yang sentiasa menjadi rebutan antara malaikat dan syaitan ini.
         
       
            Itulah peperangan yang perlu dilalui oleh setiap mukmin bagi mendapatkan qalbun salim.Sudah pasti setiap mukmin tidak mahu menyimpan hati yang sakit, hati yang dikuasai oleh sifat mazmumah serta begitu sedikit atau tipis sifat mahmudah yang bertandang dalam diri.Begitu juga hati yang mati, hati yang tiada nur, hati yang penuh dengan titik-titik dosa atau noda yang pasti membuatkan manusia itu lupa atau lalai dengan tujuan hidupnya di dunia.Bagaimana hendak mendapatkan hati yang dilimpahi nurNya yang dapat mengubah kehidupan manusia itu sendiri?Bagaimana hendak berdakwah sesama mukmin, begitu juga dengan ahli keluarga sendiri yang kadang-kala terlalu banyak dugaannya berbanding orang lain yang harus dijalani?Pokok pangkalnya semuanya berpunca dari hati,hati yang cintakan sesama Islam, sesama saudara seagama, kaum keluarga, hati yang ingin mengubah diri, hati yang mencintai kebaikan, tapi mampukan kita istiqamah kerana terlalu besar peperangan dengan syaitan ini. Sama ada kita mampu melaluinya atau tidak, itulah kehidupan yang perlu dilalui dan dijalani.
         
           Bagaimana hendak memperoleh hati yang sejahtera ini? Hati yang sejahtera dari syirik, syak, was-was, hati yang sejahtera dari bintik hitam dosa, hati yang sejahtera dari cinta kepada dunia serta hati yang sejahtera dari sifat mazmumah? Adakah hanya memadai solat, membaca Al-Quran semata-mata? Bagaimana pula dengan niat semasa mengerjakan ibadah tersebut? Adakah kerana inginkan pujian manusia? Atau adakah kerana sebab-sebab lain? Pokok pangkalnya bagi memperoleh hati yang sedemikian rupa adalah dengan keikhlasan yang amat tinggi dalam hati kita. Hanya dengan ikhlas melakukan ibadah dan amalan kebajikan dapat membentengi diri dan menjadi pendinding dari hasutan syaitan. Sabda Rasulullah SAW: Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah. "Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa dan harta benda kamu, tetapi Allah memandang hati dan amal kamu". Peganglah hadis ini, semoga menjadi dorongan dan pedoman serta panduan kepada kita.
    
           Bagaimana hendak membentuk hati yang sejahtera? Semoga Allah memberi kita kelapangan masa dan peluang bagi mempelajari ilmu berkaitan hati, muhasabahlah diri kita, jangan memandang hina kepada sesiapapun hatta manusia yang berperangai buruk sekalipun.Aturlah masa sebaik-baiknya kerana Demi masa:Sesungguhnya manusia itu sentiasa berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran...Surah Al-Asr.
         
         
            Jagalah makan dan minum kita dari makan yang haram dan syubhat.Di keliling kita, manusia terlalu terdedah dengan makanan-makanan segera dan banyak keraguan dalam kandungannya. Oleh itu marilah sama-sama kita mengimarahkan masjid,beristighfar dan bertaubat, memelihara diri daripada dosa, buang sifat mazmumah, berjihad melawan nafsu,menyuburkan amalan soleh, bersahabat dengan orang soleh, istiqamahkan zikir dan Al quran, sentiasa mengingati mati dan paling utama berdoa kerana doa itu senjata mukmin. Akhir kata, berusahalah kita mendapatkan Nur yang gemilang bagi hati. Semoga kita tergolong dalam manusia yang dipilih oleh Allah ke jalannya. Marilah kita bersama-sama istiqamah dalam segala amalan kita, meskipun kita mendapat cacian orang sekeliling kerana sesungguhnya amalan yang ikhlas pasti dapat membantu kita mendapatkan qalbun salim.

Jumaat, 9 Mac 2012

Kerana ia sangat bernilai...

"Demi masa sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan mereka yang menasihati kepada kebenaran dan mereka yang menasihati untuk kesabaran" (Al –'Asr 1-3)

Tanpa disedari masa berlalu begitu pantas sekali. Hari berganti hari, bulan berganti bulan, dan tahun berganti tahun. Meningkatnya angka tahun, bermakna semakin tua usia seseorang itu, dan bertambah tualah usia dunia ini maka bermakna saat kedatangan hari kiamat itu sudah benar semakin hampir terjadi. Jika lahirnya Nabi Muhammad SAW dianggap sebagai bermulanya zaman pangakhiran dunia kerana Baginda SAW itu adalah merupakan nabi akhir zaman. Tiada nabi selepas baginda, bermakna kita ini adalah umat yang terakhir menduduki dunia ini.

...الوقت كالسيف إن لم تقطعه قطعك...
 Justeru itu, masa atau nyawa yang masih berbaki kepada setiap insan itu tidak sewajarnya dibiarkan begitu sahaja. Hendaklah kita menjadikannya begitu bernilai dan berharga. Seperti kata pepatah Melayu “ Masa itu ibarat emas “ malah maksud sebuah hadis Rasulullah SAW “ Bahawa masa itu ibarat pedang yang tajam, Jika kamu tidak memotongnya maka kamu akan dipotongnya “. Manusia
akan sentiasa berada didalam kerugian sekiranya tidak dimenfaatkan masa itu dengan panduan iman dan taqwa. Jika masa itu diisi dengan aktiviti harian yang tiada manfaat maka ia seumpama menanam pohon lalang, yang tiada berguna dan tiada memberi pulangan apa apa, sepertimana maksud hadis Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah r.a. " Diantara tanda kebaikan keIslaman seseorang ialah meninggalkan perkara yang tidak berguna baginya " Masa itu sepatutnya digunakan sebaiknya kerana ia sesuatu yang tidak dapat dikembalikan semula. Masa muda yang lalu itu tidak dapat dikembalikan lagi apabila sekarang kita dipanjat usia tua, begitulah juga masa sihat dan masa lapang tiada siapa yang boleh mengembalikannnya. Nabi SAW bersabda " Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sempit dan masa senang sebelum susah dan masa hidup sebelum mati. "


Ahad, 14 Ogos 2011

Bentuk peribadi Islam melalui tadarus al-Quran

Di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, Islam menganjurkan umatnya agar bertadarus membaca al-Quran. Ia berdasarkan kepada apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dengan Jibril berdasarkan sebuah hadis yang maksudnya:
Daripada Ibn Abbas r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat pemurah. Baginda sangat pemurah khususnya dalam bulan Ramadhan ketika Jibril menemuinya. Jibril menemuinya pada setiap malam dalam bulan Ramadhan lalu bertadarus al-Quran dengan baginda." (Hadis riwayat Bukhari).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
"Tidak berhimpun sesuatu kaum dalam sebuah rumah dari rumah-rumah Allah - mereka membaca kitab Allah dan bertadarus di antara mereka - melainkan turun kepada mereka ketenangan, diliputi dengan limpahan rahmat, dilingkungi oleh para malaikat dan dipuji oleh Allah Taala dalam kalangan (malaikat) yang ada disisinya." (Hadis riwayat Abi Daud).

Menurut Mohd Shamsul Haqqil 'Azim, penulis kitab Aunul Ma'bud, maksud tadarus dalam hadis di atas ialah berkongsi membaca al-Quran di antara satu sama lain.


Jelasnya, tadarus al-Quran adalah merupakan syiar yang diamalkan semenjak zaman awal Islam. Hasil daripada syiar inilah terbentuknya keperibadian Islam yang sebenarnya. Antara ciri-ciri keperibadian Islam adalah mempunyai akidah yang benar, ibadat yang betul, akhlak yang mulia, teratur dalam setiap urusannya, disiplin menggunakan waktu dan bermanfaat kepada orang lain.

Justeru, seseorang yang mempunyai keperibadian Islam tidak akan meninggalkan syiar tadarus ini. Ia adalah merupakan amalan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat bahkan diberikan kelebihan yang banyak oleh Allah SWT. Ketenangan dan limpahan rahmat daripada Allah hasil daripada tadarus ini menjadikan seseorang itu mempunyai keperibadian yang istimewa dan tersendiri berbanding dengan mereka yang tidak bertadarus.



Dengan bertadarus, seseorang akan lebih rapat dengan al-Quran. Ia menjadi temannya yang akrab, menunjukkan jalan yang lurus dan menegurnya jika melakukan kesalahan. Generasi para sabahat r.a. lahir daripada keakraban ini. Bermula dengan keruntuhan akhlak dan moral sehingga digelar hidup dalam masyarakat jahiliyyah akhirnya menjadi peribadi insan yang mulia yang digelar sebagai generasi al-Quran yang unik.

Selain itu, bertadarus tanpa beramal dengan isi kandungan al-Quran merupakan satu penyakit yang wujud di kalangan umat Islam yang merosakkan keperibadian muslim. Mereka tidak menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan.
Firman Allah yang maksudnya: Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku Sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan Yang ditinggalkan, tidak dipakai". (Al-Furqan: 30).


Sebagai contoh kesan daripada bertadarus al-Quran sebagaimana firman Allah s.w.t  di dalam surah al-Jumuah ayat 2 yang bermaksud: “Dialah yang mengutus seorang rasul kepada kaum yang buta huruf dari kalangan mereka sendiri,yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya,menyucikan ( jiwa ) mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah ( sunnah ),meskipun sebelumnya,mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”
Ayat ini menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. dalam keadaan ummi iaitu tidak tahu membaca dan menulis akhirnya apabila alQuran diturunkan nabi membaca dan mengajar kepada sahabat-sahabatnya maka kesan daripada tindakan itu lahir satu generasi seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Bin Affan, Ali bin Abi Talib dan AbdurRahman bin Auf. Walaupun mereka itu pada zaman jahiliyah tergolong dalam golongan yang sesat.

Oleh kerana itulah tadarus al-Quran merupakan satu amalan yang dituntut untuk diamalkan oleh seluruh umat Islam khususnya para pendokong pejuang Islam supaya memahami tuntutan Islam itu melalui al-Quran itu sendiri.

Khamis, 26 Mei 2011

Allah mengetahui tahap keikhlasan kita

Ayat tafsiran :


[Al-Baqarah, Ayat : 264]

Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan menyebut-nyebut dan menyakiti perasaan si penerima seperti orang yang membelanjakan hartanya kerana riak kepada manusia, dan tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin. Mereka tidak mendapat sesuatu pun dari apa yang mereka usahakan. Dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.


[Al-Baqarah, Ayat : 265]

Dan bandingan orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan keteguhan (iman) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau tidak ditimpa hujan lebat, maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan, Allah sentiasa Melihat apa yang kamu lakukan.


[Al-Baqarah, Ayat : 266]

Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar dan anggur, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, ia mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang ia sudah tua dan mempunyai anak cucu yang kecil, lalu kebun itu diserang angin taufan yang membawa api lalu terbakarlah ia? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).



Sheikh Sya’rawi berkata: “Mereka yang seperti batu yang licin yang ada padanya debu kemudian datangnya hujan tanpa meninggalkan sebarang bekas merupakan sifat-sifat bagi siapa yang dikehendaki dengan infak secara riak kepada manusia. Lantas Allah membatalkan balasan untuk mereka dan tidak mentaufikkan ke arah kebaikan dan pahala. “Seterusnya Allah menyebut yang berlawanan dengan sifat di atas iaitu mereka yang menafkahkan semata-mata kepada Allah SWT”.

Firman Allah SWT, Dan perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi.

Sayyid Qutub berkata: “Ia menginfakkan harta kerana keyakinannya yang teguh kepada kebajikan, kerana kesedaran yang lahir dari keimanannya dan kerana keimanannya yang bertunjang dengan mendalam di dalam hati nuraninya.

“Jika hati yang keras ditutup dengan tabir riak itu dilambangkan dengan batu licin yang keras yang ditutupi tanah, maka hati yang mukmin itu dilambangkan dengan sebuah kebun yang subur yang mempunyai tanah yang dalam, dibandingkan dengan segenggam tanah di atas batu yang keras tadi, sebuah kebun yang terletak di atas sebuah dataran yang tinggi dibandingkan dengan segenggam tanah di atas batu keras yang licin tadi.

“Ini menjadikan pemandangan itu mempunyai bentuk-bentuk yang selaras. Apabila kebun ini ditimpa hujan lebat, maka ia tidak menghakiskan tanahnya yang subur sebagaimana ia menghakiskan tanah yang tipis di atas batu yang pejal itu. Malah ia menghidupkan tanam-tanamannya dan menyuburkan serta membanyakkan hasilnya”.

Firman Allah SWT: Yang disiram oleh hujan lebat, Maka kebun itu menghasilkan buahnya berlipat ganda. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, Maka hujan gerimis (pun memadai).

Al-Nasafi berkata: “Allah SWT umpamakan hal mereka dengan kebun yang disirami air dan nafkah yang banyak dan sedikit dengan hujan yang banyak sebagaimana setiap satu daripada hujan boleh menggandakan hasil tanam begitu juga nafkah mereka yang banyak dan yang sedikit selepas daripada dituntut dengannya keredaan Allah akan bertambah dan baik kesudahannya”.

Melipat ganda, Sayyid Qutub berkata: “Air hujan itu menghidupkan pokok di kebun itu sebagaimana sedekah menghidupkan hati yang mukmin lalu ia menjadi bersih dan bertambah kuat hubungannya dengan Allah, dan hartanya juga turut bersih dan Allah melipat gandakan balasannya seberapa banyak yang ia sukai, dan seterusnya kehidupan kelompok muslimin juga turut menjadi bersih, baik dan berkembang subur dengan sebab infak itu”.

Beliau menambah: “Yakni jika tidak ada hujan yang lebat, maka hujan gerimis yang sedikit cukup untuk tanah kebun yang subur itu. Itulah satu adegan yang sempurna yang memaparkan pemandangan- pemandangan yang bertentangan dan dengan perincian-perincian yang tersusun rapi. Ia dibentangkan dengan cara keselarasan yang melemahkan manusia.

“Ia melambangkan setiap perasaan di dalam hati dan setiap fikiran dengan pemandangan-pemandangan yang jelas. Ia menggambarkan perasaan-perasaan dan pergerakan-pergerakan jiwa dengan keadaan dan pemandangan- pemandangan fizikal yang setanding dengannya. Ia menyarankan ke dalam hati supaya memilih jalan yang betul dengan cara mudah yang terbaik”.



Firman Allah SWT: Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu perbuat.

Al-Nasafi berkata: “Allah melihat segala amalanmu sama ada banyak atau sedikit serta mengetahui niatmu sama ada riak atau ikhlas.

“Oleh sebab dengan ini dari satu aspek yang menjadi tontonan mata kasar dan mata hati dan segala yang disebut di dalamnya juga dikembalikan kepada Allah Yang Maha Melihat dan Mengetahui segala apa yang ada di sebalik segala yang nyata”.

Firman Allah SWT: Apakah ada salah seorang di antaramu yang ingin mempunyai kebun kurma dan anggur yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dia mempunyai dalam kebun itu segala macam buah-buahan.

Al-Maghari berkata: “Telah berlangsung sunah al-Quran bahawa menyebut kemuliaan dengan buah dan pohon kurma dengan buahnya kerana setiap sesuatu dari pohon kurma semuanya memberi manfaat kepada kehidupan manusia sama ada daunnya, batangnya, mayangnya, pelepahnya yang boleh digunakan kesemuanya”.

Sayyid Qutub berkata: “Ia sebuah kebun yang teduh, rimbun, subur dan berbuah. Demikianlah juga sifat sedekah dan kesan-kesannya dan beginilah keadaannya dalam hidup si pemberi, dalam hidup si penerima dan dalam hidup masyarakat manusia.

“Demikianlah juga sedekah itu mempunyai roh, bayang yang teduh, kebajikan dan keberkatan, mempunyai makanan dan minuman dan mempunyai kebersihan, kesuburan dan pertambahan.

“Siapakah yang ingin mempunyai kebun atau kebajikan yang seperti ini kemudian ia melepaskan (ribut) perbuatan yang membangkit- bangkitkan pemberian dan perkataan yang menyakitkan hati dan memusnahkan kebajikan itu sebagaimana kebun dimusnahkan oleh ribut yang kencang yang mengandungi api.

“Bilakah kebun itu dimusnahkan? Ia dimusnahkan pada waktu tuannya berada dalam keadaan yang paling lemah untuk menyelamatkannya dan paling berkehendak kepada bayang-bayang yang teduh dan hasilnya yang baik”.

Firman Allah SWT: Kemudian datanglah masa tua pada orang itu sedang dia mempunyai keturunan yang masih kecil-kecil. Maka kebun itu ditiup angin keras yang mengandung api, lalu terbakarlah.

Ibnu Jauzi berkata, ayat ini menggambarkan perumpamaan Allah dengan sebab kerugian ketika ditarik nikmat ketika keperluan yang amat mendesak.


Orang yang dimaksudkan ini terdapat tiga pandangan ulama :

Pertama: Bahawa ia diumpamakan yang disudahi kehidupannya dengan amalan yang tidak baik seperti kata Ibnu Abbas.
Kedua: Bahawa ia diumpamakan seperti orang yang cuai pada ketaatan kepada Allah sehingga mati. Inilah pendapat Mujahid.
Ketiga: Ia diumpamakan seperti orang yang riak dalam nafkah yang terputus manfaatnya ketika ia amat perlu. Inilah pendapat As-Suddi.

Firman Allah SWT: Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu supaya kamu memikirkannya.

Ibnu Kathir berkata: “Supaya kamu mengambil iktibar dan memahami segala perumpamaan dan makna dan kamu menurunkannya mengikut apa yang dikehendakinya”.

Iktibar Ayat :
* Perumpamaan untuk mendekatkan kefahaman (tentang keikhlasan).
* Infak kerana Allah mendapat ganjaran yang besar.
* Mengisbatkan sifat Allah yang Maha Melihat.